Halaman

Isnin, 16 Disember 2013

Ahli Pas Terlibat Syiah

JAKIM, MAIN buat tindakan susulan

Kes seorang pemimpin PAS yang dikaitkan dengan fahaman Syiah kini diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk tindakan undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kementeriannya akan menyerahkan semua bukti berhubung perkara itu kepada dua pihak berkuasa agama terbabit kerana kes berkenaan sudah masuk peringkat penguatkuasaan. 


“Dalam perkara ini, saya fikir tindakan susulan akan dibuat JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri. Bukti akan kita serahkan semuanya kepada JAKIM kerana kami (KDN) terbabit dalam soal keselamatan, soal akidah kita serahkan kepada pihak berkuasa agama negeri,” katanya. 

Bukti akan kita serahkan semuanya kepada JAKIM kerana kami (KDN) terbabit dalam soal keselamatan, soal akidah kita serahkan kepada pihak berkuasa agama negeri” Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri


Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Air Bagan Datoh, di sini semalam.

Zahid mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Zamihan Mat Zin kelmarin bahawa kementerian itu memiliki bukti eksklusif ‘gred A’ berupa pengakuan lebih 20 individu yang didakwa mampu 'menceritakan' kecenderungan pemimpin PAS berkenaan dengan fahaman Syiah.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi turut mendedahkan kementerian itu mempunyai 10 maklumat untuk mengaitkan pemimpin pembangkang terbabit dengan fahaman berkenaan.

Sambil yakin pihak berkuasa agama akan mengambil tindakan tegas berhubung kes itu, Zahid berkata, beliau tidak mahu lagi mengulas isu berkenaan kerana ia kini di peringkat penguatkuasaan. 
“Seperti disebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, beliau akan menugaskan bahagian penguatkuasaan MAIN untuk melakukan pendakwaan dan langkah penguatkuasaan lain,” katanya sambil mengulangi cabaran kepada pemimpin PAS itu supaya membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan