Halaman

Isnin, 16 Disember 2013

Menarik:Cuti bergaji sebulan kematian suami

Berita baik bagi wanita kakitangan awam di negeri ini apabila kerajaan Kelantan akan melaksanakan cuti bergaji selama sebulan kepada isteri kematian suami.

Berbanding sebelum ini mengikut pekeliling kerajaan negeri meluluskan tiga hari sahaja untuk cuti kematian suami.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Mumtaz Md Nawi berkata, dalam dua minggu lagi dasar baru itu akan disahkan selepas diluluskan dalam mesyuarat sebelum berkuat kuasa.

“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi cuti bergaji selama 27 hari sebagai tambahan kepada kakitangan wanita yang bekerja sebagai pegawai atau guru di Kelantan sama ada berkhidmat secara kontrak atau tetap.

“Iaitu cuti tiga hari mendapat gaji penuh (mengikut kadar gaji biasa) dan tambahan cuti 27 hari akan dibayar dengan bayaran insentif khas kematian suami bersama kadar 27 hari gaji pada hari tempoh 'option' tambahan tersebut,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Mingguan Exco semalam.

Mumtaz berkata, ia dilaksanakan bagi mematuhi kehendak syariah daripada sudut edah kematian suami selain menjaga kebajikan wanita dari segi emosi dan pengurusan kehidupan selepas kematian.

“Bila kita lihat implikasi kematian suami ini, apabila wanita yang tiba-tiba menjadi armalah (ibu tunggal) akan menghadapi kesukaran untuk mengatur anak, menstabilkan perkara-perkara berkaitan dengan kes kematian suami dan sebagainya  dalam tempoh singkat,” katanya.

Bagaimanapun, ia bukan cuti automatik tetapi ini cuti 'option' yang diberikan kepada kakitangan dan tidak boleh dibawa ke depan atau diganti dengan imbuhan lain serta ia sah untuk sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan.

Mengulas lanjut , Mumtaz berkata, kadar implikasi pekerjaan tidak tinggi kerana bilangan pegawai kematian suami sepanjang 23 tahun pemerintahan kerajaan Kelantan tidak tinggi berbanding kematian akibat bersalin.

“Kita kira ini adalah antara pematuhan kepada manifesto yang kita isytiharkan dan ini juga satu kebajikan dari segi jangka panjang untuk keluarga serta wanita di Kelantan,” katanya.
Katanya, tempoh cuti tambahan itu tidak akan terlibat untuk pengiraan pencen.

Kelantan negeri kedua melaksanakan dasar tersebut yang sebelum ini berkuat kuasa di Selangor.


Macam Best je............

Tiada ulasan:

Catat Ulasan