Halaman

Isnin, 30 Disember 2013

Terengganu perkenal program perkasa Bahasa Inggeris di 32 DUN

 Kerajaan Terengganu akan melancarkan Program T'English iaitu program yang memberi fokus menguasai Bahasa Inggeris di kalangan pelajar tingkatan tiga dan empat di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib, berkata program itu akan bermula di 32 sekolah iaitu satu sekolah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). 

"Kita bermula dengan memilih sekolah-sekolah yang prestasi peperiksaannya rendah, sekolah yang ramai murid dan sekolah-sekolah yang berada di pedalaman supaya mereka tidak ketinggalan jauh ke belakang. 


"Kami sudah siapkan rangka kerja untuk melaksanakan program baharu itu dan kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan kira-kira RM3.3juta bagi tujuan itu," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kecemerlangan pelajar tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang cemerlang dalam peperiksaaan UPSR, PMR, SPM, STPM dan STAM di sini hari ini. Turut hadir Pengarah YT Azmi Razik. 

Pada majlis itu seramai 1,033 pelajar lulusan UPSR, PMR, SPM, STPM dan STPAM diberi hadiah kecemerlangan antara RM100 hingga RM250 tiap seorang. 

Mengenai kebakaran universiti Al-Azhar di Mesir semalam, Ghazali berkata tiada penuntut tajaan YT yang terlibat dalam kejadian itu. 
Pada masa ini terdapat 221 penuntut tajaan YT mengikuti pengajian perubatan dan 27 penuntut pengajian Islam di beberapa universiti di Mesir. 

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan