Halaman

Selasa, 10 Disember 2013

30 aduan seleweng akidah diterima tiap tahun

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah mengkaji semula fatwa Syiah 1998 dengan menambah tujuh elemen penyebaran Syiah yang boleh di ambil tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Timbalan Pengarah Jais, Ahmad Zaki Arshad berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah mengeluarkan pekeliling kerajaan kepada penjawat awam bagi menghalang mereka terlibat dengan aktiviti berkaitan Syiah.

Katanya, setiap tahun aduan berkaitan penyelewengan akidah yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak kurang daripada  30.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan Islam  terpelihara dan pegangan ajaran Islam tetap kukuh.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Simposium Serantau Ahli Sunnah Wal Jamaah 2013, yang berlangsung semalam hingga hari ini dan dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dianggarkan 700 peserta menghadiri simposium yang pertama kali dianjurkan Jais dengan kerjasama Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Lembaga Zakat Selangor.

Abdul Khalid berkata, umat Islam harus menangkis sebarang cubaan membawa fahaman bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Salah satunya melalui pemantapan kerjasama antara ulama, umara, Jais, Jabatan Mufti dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Usaha hebatkan dakwah perlu diteruskan agar pandangan positif terhadap Islam dapat ditanamkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan