Halaman

Selasa, 10 Disember 2013

Bomba sedia hadapi gelombang kedua banjir

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu akan mewujudkan pondok khas bomba di kawasan berisiko dilanda banjir bagi menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku sekitar 11 Disember.

Pengarah JBPM Terengganu Md Salleh Sarbini berkata lima anggota akan ditugaskan di setiap pondok terbabit dan turut dilengkapi dengan kenderaan menyelamat seperti bot dan lori sebagai persediaan operasi menyelamat.

"Kita telah melalui gelombang pertama dan menerusi itu kita membuat analisa yang mana air banjir naik cepat di kawasan tertentu sehingga sukar untuk kita menyelamat dengan segera terutama apabila air naik pada waktu malam.

"Jadi bagi persiapan gelombang kedua ini, kita tempatkan pondok bomba di kawasan berisiko misalnya di Dungun dan Kemaman. Ia melibatkan lebih 15 pondok bagi memudahkan aktiviti menyelamat di waktu kecemasan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Rendah Kampung Delong di sini hari ini.

Sementara itu Md Salleh turut memaklumkan pihaknya turut menyediakan 500 jaket keselamatan kepada mangsa banjir di seluruh negeri ini.

Katanya ia bertujuan menjamin keselamatan mangsa ketika operasi memindahkan mereka menggunakan bot.

"Adalah keutamaan kita bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini ekoran kebanyakan paras air yang tinggi ketika menyelamat mangsa, kita bekalkan mereka dengan jaket keselamatan.

"Selain mangsa banjir, kita juga bekalkan jaket keselamatan itu kepada penduduk kampung yang membantu kita untuk memindahkan mangsa," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan