Halaman

Selasa, 10 Disember 2013

Banjir: JPA lancar JPA4U

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya hari ini melancarkan JPA4U dengan tugasan pertama memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kuantan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata JPA4U setakat ini dianggotai kira-kira 300 penjawat awam dan mereka memberi bantuan termasuk makanan, pakaian dan barangan keperluan asas.

"Hari ini kira-kira 30 sukarelawan JPA4U menghantar bantuan tersebut yang bernilai RM5,000 hasil derma anggota JPA di Putrajaya sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan JPA4U di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini melalui gerakan awal JPA4U, bantuan makanan mula diagihkan kepada 250 buah keluarga di bandar Kemaman pada Rabu lepas.

Katanya pengumpulan dana mahupun barangan keperluan akan dilakukan secara berterusan bagi membantu mangsa banjir meneruskan kehidupan di pusat penempatan sementara.

Justeru beliau meminta semua ketua jabatan supaya menggalakkan sumbangan daripada kakitangan masing-masing.

"Sudah tentu jika banjir ini surut dan mangsa kembali ke rumah masing-masing, sumbangan seperti peralatan pesekolahan bagi anak-anak menjadi keutamaan selain keperluan lain," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan