Halaman

Selasa, 3 Disember 2013

Dr M sah letak jawatan penasihat PETRONAS


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan peletakan jawatannya sebagai penasihat PETRONAS, berkuat kuasa kelmarin. 

Beliau berkata, surat rasmi berhubung keputusan itu sudah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini. 

Katanya, beliau membuat keputusan itu berikutan faktor usia dan kesihatan supaya boleh menumpukan sepenuh perhatian pada rawatan susulan. 



“Saya sudah 10 tahun menjadi penasihat PETRONAS. Sepanjang pembabitan saya, ramai usahawan Bumiputera dilahirkan dan pencapaian PETRONAS pun sudah menepati sasaran,” katanya pada sidang media selepas jamuan tengah hari Persidangan Antarabangsa UMNO 2013 bertajuk ‘Kesederhanaan Politik Ke Arah Keamanan dan Kestabilan’, di sini, semalam.

Terus perjuangan dalam Proton 

Sebelum ini, Dr Mahathir menerima rawatan di wad Institut Jantung Negara (IJN) selama 10 hari kerana jangkitan dada pada 16 November lalu. 

Bagaimanapun, laporan doktor mengesahkan beliau perlu menjalani fisioterapi dan meneruskan program senamannya. 
Ditanya sama ada beliau akan meletakkan jawatannya dalam Proton Berhad kerana faktor sama, Dr Mahathir menafikan spekulasi itu. 

“Proton bukan milik kerajaan. Ia milik DRB-Hicom Bhd. Saya masih akan meneruskan perjuangan saya dalam Proton,” katanya. 

Mengulas pelantikan sembilan ahli Majlis Tertinggi yang diumum Najib, Jumaat lalu, Dr Mahathir menyifatkannya keputusan tepat dan seiring dengan perkembangan politik semasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan