Halaman

Selasa, 3 Disember 2013

Tabung Haji perlu tingkat kawalan sistem komputer

Tabung Haji

Prestasi Tabung Haji dalam mengurus operasi haji tahun lepas secara keseluruhannya adalah baik, namun perlu penambahbaikan bagi kawalan dalaman Sistem Haji.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 3 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Hari ini menyatakan Tabung Haji perlu menambah baik sistem itu terutamanya dalam modul rayuan bagi memastikan pembekal tiada akses untuk menjana laporan dalam sistem.

“Semakan mendapati (perlu) penambahbaikan dalam kawalan input bagi memastikan hanya transaksi sah diproses oleh komputer supaya ia tidak hilang, ditokok tambah dan berlaku duplikasi.

“Hasil pengauditan ‘walkthrough’ (turut) mendapati sistem membenarkan pencetakan surat tanpa pengesahan yang berpunca daripada ‘pop up window’ yang tidak diwujudkan bagi mengingatkan pengguna untuk membuat pengesahan tersebut,” demikian menurut laporan itu.

Sistem Haji perlu mempunyai ciri ‘prompt notification’ sebelum menyimpan maklumat dan ia sepatutnya dikemas kini dalam sistem.

Selain itu, Ketua Audit Negara turut mengesyorkan Tabung Haji supaya membaharui Perjanjian Penyenggaraan Sistem bagi memastikan integriti data dijamin demi melindungi kepentingan badan itu.

Tabung Haji, dalam kenyataan maklum balasnya pada 15 Mei lepas, menyatakan penambahbaikan akan dijalankan dengan cetakan hanya dibenarkan setelah status rayuan berjaya dikemas kini, dan ia dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.

Dalam laporan sama, Ketua Audit Negara turut memuji langkah Tabung Haji memperkenal Indeks Prestasi Perkhidmatan Haji atau Indeks Kepuasan Pelanggan bagi membantu menilai pencapaian sebenar terhadap sasaran yang ditetapkan setiap tahun.

Statistik Analisis Kepuasan Pelanggan, yang disertakan dalam laporan audit itu, menunjukkan Tabung Haji berjaya mencapai tahap 85 peratus berbanding sasaran 83 peratus yang ditetapkan sebelum ini.

“Ini menunjukkan komitmen Tabung Haji untuk terus beri perkhidmatan muassasah terbaik bagi jemaah haji Malaysia,” katanya. -Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan