Halaman

Jumaat, 13 Disember 2013

1 juta alami gangguan air

Kira-kira satu juta pengguna air di kawasan Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Klang dan Shah Alam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 13 jam bermula jam 8 pagi, Selasa ini.

Gangguan itu adalah berpunca daripada pemberhentian operasi sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) di bawah kendalian Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) membabitkan 217,694 akaun pengguna Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS). 

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS, Priscilla Alfred, berkata pihaknya menerima permohonan dari PNSB bagi melaksana kerja menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset utama di loji berkenaan. 


Permintaan air meningkat

Antara komponen kerja yang akan dilaksana termasuk menaik taraf papan suis bagi alat ubah (transformer) nombor 1 di muka sauk, pembaikan paip keluli, dan penggantian Sluice Valve di Rumah Pam Air Bersih ke Kolam Imbangan Matang Pagar.

SYABAS juga ingin memaklumkan bahawa permintaan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terus meningkat manakala rizab kapasiti bekalan air daripada 34 loji sedia ada sudah menyusut ke tahap kurang daripada satu peratus sekali gus menyebabkan tiada lagi bekalan air alternatif ketika waktu kecemasan, katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Sehubungan itu, SYABAS akan mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning ketika loji berkenaan tidak beroperasi. 
Priscilla berkata, pemulihan bekalan air secara berperingkat dijangka bermula pada jam 9 malam hari sama sehingga 22 Disember.

Beri notis awal

Susulan gangguan bekalan ini sudah diberikan notis awal, pihak SYABAS tidak akan menyediakan lori tangki sepanjang tempoh gangguan kecuali kepada pengguna kritikal di hospital, pusat dialisis dan rumah ibadat.

Sebagai langkah persediaan awal, pihak SYABAS menyediakan 66 lori tangki dalam keadaan tunggu sedia serta 750 tangki statik sekiranya diperlukan khasnya di kawasan yang masih belum menerima bekalan air selepas tempoh 24 jam namun tertakluk kepada kapasiti kemudahan sedia ada SYABAS, katanya.

Pengguna di kawasan berkenaan dinasihat menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh itu.

Sebarang pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan SYABAS (PUSPEL) menerusi talian bebas tol 24 jam di 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL(jarak)aduan/pertanyaan dan hantar ke 39222.

Pengguna juga boleh membuat aduan di laman Facebook atau Twitter SYABAS dengan menaip puspel atau puspel syabas.

Maklumat lanjut mengenai lokasi terjejas bekalan air berkenaan, layari www.syabas.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan