Halaman

Jumaat, 13 Disember 2013

Isu gaji Adun Selangor akan diselesai

Kerajaan Negeri Selangor bakal menamatkan kontroversi kenaikan gaji Adun pada awal Januari 2014.

Bagaimanapun, Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau belum mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan seluruh pimpinan PR dan menjangkakan isu ini bakal diselesaikan menjelang Januari.

“Ya, saya selaraskan gaji sederhana tetapi bukanlah dalam kadar segera kerana kita perlu selesaikan banyak lagi perkara.

“Bagaimanapun persidangan Dun Selangor telah meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 Adun berkuat kuasa 1 Januari depan, dengan timbalan speaker mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, semalam.

Beliau turut berkata, tangga gaji sesuai yang bakal dibincangkan kelak masih belum boleh dijangkakan.

“Rakyat dan sesiapa saja boleh memberi pandangan tetapi gaji yang sesuai bakal kita putuskan nanti.

“Lagipun kenaikan gaji Adun Selangor yang baharu ini bukanlah gaji terbaik dalam negara sekiranya dibandingkan dengan Dun Sarawak. Mereka menerima 30 peratus kenaikan lebih daripada Selangor,” katanya.

Sebelum ini, beliau ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata, Mesyuarat Exco pada 22 November bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75 peratus daripada elaun dan gaji yang diterima Adun dan anggota pentadbiran Sarawak.

Kenaikan gaji ini dibuat berdasarkan bebanan tugas yang dipikul tanpa mengira waktu oleh wakil rakyat.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar, speaker dan barisan Exco kerajaan negeri.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri dari RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker Dun dari RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker dari RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun dari RM6,000 kepada RM11,250. Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.

Bagaimanapun kenaikan itu menimbulkan pelbagai reaksi termasuk Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Kumpulan Penyokong Kelab Kerajaan (BBC) Selangor, Azmin Ali dan pemimpin BN yang menyifatkan kenaikan gaji itu tidak munasabah.

Masing-masing mengusulkan supaya kenaikan itu dikaji semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan