Halaman

Jumaat, 13 Disember 2013

Kenaikan tambang LRT, monorel bebankan pengguna

Belum pun reda dengan isu kenaikan tarif elektrik yang akan berkuatkuasa 1 Januari ini, pengguna bakal dibebankan pula dengan kenaikan  harga tambang transit aliran ringan (LRT) dan monorel.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar bahawa kenaikan itu tidak membebankan pengguna adalah sangat janggal.

Beliau berkata, rakyat khususnya di Kuala Lumpur sudah tentu menerima impak akibat kenaikan tambang LRT dan monorel itu kerana selain kenaikan tarif elektrik, mereka juga bakal berhadapan dengan kenaikan cukai pintu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Oleh yang demikian, saya mendesak agar Kabinet memikirkan secara mendalam bebanan yang dipikul oleh rakyat apabila ada kenaikan seperti ini. Saya mohon agar tidak ada lagi berita buruk kepada warga Kuala Lumpur terhadap apa sahaja yang melibatkan kos hidup mereka," katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Syed Hamid Albar dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa alasan kenaikan tersebut wajar memandangkan sudah 10 tahun tiada kenaikan dilakukan.

Ketika ini tambang LRT berkadar antara 70 sen ke RM5.90.

Mohd Razlan berkata, dalam keadaan sekarang kerajaan sepatutnya menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan LRT dan monorel dengan harga tambang yang rendah memandangkan sistem trafik yang seringkali sesak di kawasan Kuala Lumpur.

"Seharusnya ada formula lebih baik menggalakan rakyat khsususnya warga Kuala Lumpur untuk menggunakan LRT dan monorel. Oleh itu, kami desak untuk tangguh atau lupakan sebentar kenaikan tambang ini demi kepentingan rakyat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar & Perumahan Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, nampak seakan-akan ada 'perlumbaan' di kalangan syarikat milik kerajaan (GLC) menaikkan harga perkhidamatan tanpa memikirkan kesan yang bakal diterima rakyat khususnya di kawasan bandar.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini mengalakkan rakyat menggunakan perkhidamatan awam, namun cadangan untuk menaikkan tambang LRT dan monorel sahaja akan membebankan rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi malah boleh menyebabkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) goyah.

"Adakah cadangan ini mahu menguji kesetiaan rakyat yang telah memberikan kemenangan kepada BN  pada PRU13 yang lalu? Justeru, Pemuda Umno mendesak kerajaan menilai semula cadangan-cadangan yang akan memberikan kesan kepada rakyat khususnya warga kota yang berpendapatan sederhana," katanya.

Ketua Pemuda Umno Titiwangsa itu berkata, SPAD sepatutnya meningkatkan lagi mutu perkhidmatan awam itu untuk memberi keselesaan kepada pengguna daripada memikirkan keuntungan dengan menaikkan tambang semata-mata.


Jangan terus menerus membebankan rakyat..Jangan sampai amarah rakyat terhadap kerajaan tidak dapat dibendung lagi..Buruk padahnya.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan