Halaman

Jumaat, 13 Disember 2013

Mangsa Banjir Dapat RM500




 Wang bantuan RM500 kepada penduduk terjejas banjir dijangka mula diagihkan selewat-lewatnya hujung minggu depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya menunggu senarai lengkap mangsa daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 


Jika JKM bagi senarai itu Isnin (16 Disember), pada Khamis kita boleh mula agihkan kepada penerima. Apa yang penting, penduduk terbabit banjir minggu lalu dan belum mendaftar, sila berbuat demikian segera supaya tiada yang tercicir daripada mendapat bantuan, katanya. 



Shahidan berkata demikian selepas mengiringi Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam. Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. 

Kenal pasti jumlah mangsa 

Sementara itu, Rohani berkata, JKM sedang mengemas kini data mangsa banjir bagi mengenal pasti jumlah sebenar mereka yang layak menerima bantuan, sekali gus mengelak pertindihan dan pelbagai masalah lain. 

Kita kena tengok betul-betul perkara ini sebab dalam sebuah rumah tidak semestinya ada satu keluarga saja, katanya. 
Di Johor Bahru, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi, berkata kerajaan negeri akan membantu membaik pulih kediaman mangsa banjir yang rosak teruk dan kini dalam proses menilai jumlah kerugian ditanggung mangsa. 

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan peruntukan sewajarnya bagi menjayakan usaha ini. Kita bercadang menyalurkan bantuan tunai kepada mangsa selain yang disumbangkan Kerajaan Pusat, katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Smart Growth, semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan