Halaman

Sabtu, 21 Disember 2013

1,062 lagi ditawar pangsapuri PPA1M

1,062  lagi ditawar  pangsapuri PPA1M

 Cabutan undian Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) siri kedua semalam menyaksikan 1,062 kakitangan awam ditawarkan peluang memiliki rumah di Pangsapuri Seruling, Presint 5, di sini. 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, yang melancarkan cabutan itu berkata, pangsapuri berkenaan akan dibangunkan Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan dijadualkan siap Disember 2015. 

Katanya, 1,263 nama dipilih pada undian siri pertama 29 Ogos lalu dan secara keseluruhan, pangsapuri yang akan dibina di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu menawarkan 10,639 unit kediaman di bawah Fasa I PPA1M. 



Penuhi syarat kelayakan 

“Lebih 10,500 kakitangan awam di Putrajaya layak memohon unit rumah di bawah PPA1M kerana memenuhi syarat kelayakan pendapatan isi rumah tidak lebih RM8,000. Unit yang ditawarkan ini berkeluasan 1,000 kaki persegi, 1,200 kaki persegi dan 1,500 kaki persegi dengan harga antara RM150,000 hingga RM300,000. 

“Program seumpamanya turut dilancarkan di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Sabah serta Sarawak dan kerajaan kini dalam proses mencari tapak yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas majlis cabutan siri kedua itu, semalam yang turut dihadiri Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Dr Aseh Che Mat. 

Rasmi majlis pecah tanah 

Sempena majlis sama, Ali turut merasmikan majlis pecah tanah bagi tapak pangsapuri PPA1M Larai, mengandungi 1,680 unit kediaman yang akan dibina di Presint 6. Siri cabutan ketiga PPA1M dijangka April depan. 

Kakitangan awam yang mahu mengetahui keputusan undian siri kedua itu boleh menyemak di www.ppj.gov.my atau www.putrajaya.gov.my pada 30 Disember ini atau menghubungi Bahagian Perancangan Bandar PPj di talian 03-88877165 atau 03-88878312. 

Dalam pada itu, Ali berkata, kerajaan akan mempertimbangkan pembinaan rumah berharga RM90,000 untuk penjawat awam pada masa depan seperti dicadangkan CUEPACS kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan