Halaman

Sabtu, 21 Disember 2013

Kerajaan juga perlu berjimat demi rakyat

Kerajaan disaran melakukan penjimatan dalam urusan perbelanjaan jika mahu mengurangkan subsidi barangan  serta perkhidmatan.

Ketua Eksekutif Institusi Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berkata, pemimpin kerajaan digesa  melakukan perkara itu demi keadilan rakyat yang terpaksa menanggung beban kenaikan harga barangan secara mendadak disebabkan tindakan itu menjelang 2014.

“Rakyat memang ada hak  yang sangat kuat untuk rasa tidak senang hati dengan kenaikan harga barangan disebabkan pengurangan subsidi berkuat kuasa tahun depan.

“Pastinya rakyat marah dan kecewa dengan tindakan itu yang pada masa sama pemimpin sendiri tidak berusaha untuk kurangkan perbelanjaan kerajaan,” katanya.
    
Menurut Wan Saiful, kerajaan boleh mengambil inisiatif mengurangkan perbelanjaan dengan penjimatan kos guna elektrik di semua jabatan kerajaan termasuk kos perjalanan pemimpinnya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, kerajaan harus menilai dan menimbang semula keputusan tersebut.

Menurutnya, sebolehnya pengurangan subsidi perlu dilakukan secara berperingkat termasuklah kenaikan kadar tol baharu diumumkan kelmarin, agar tidak terlalu membebankan rakyat.

“Kerajaan terlebih dahulu perlu mendidik masyarakat menjadi rasional dengan kenaikan itu, supaya lebih bersedia.

"Tambahan kenaikan semua barang tersebut ada kaitan dengan rakyat di mana akan beri impak besar kepada perkara lain,” katanya, semalam.

Beliau berkata, pengurangan kadar tol juga pastinya memberi kesan kepada pengundi bandar terutama Kuala Lumpur terhadap sokongan mereka kepada BN.

“Tol sememangnya banyak di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur, pastinya akan beri kesan pengundian pada masa akan datang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan