Halaman

Sabtu, 21 Disember 2013

Agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera dipantau

Kerajaan akan memantau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan mereka melaksanakan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dengan berkesan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
   
Najib yang juga presiden Umno berkata parti itu mendengar mesej yang disampaikan perwakilan sepanjang Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung dari Selasa lalu dan berakhir hari ini yang mahu GLC memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ekonomi Melayu dan Bumiputera.
   
"Saya dah jumpa dengan semua ketua eksekutif GLC, kata pada mereka bahawa agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera adalah sebahagian agenda nasional dan oleh itu setiap CEO (ketua pegawai eksekutif) dan pengurusan GLC perlu laksanakan agenda ini dengan sebaik mungkin.
   
"Kita memantau perkara ini dengan teliti dan jadikan ini sebagai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) pada setiap CEO GLC, akhir tahun saya nak tengok kad laporannya," katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
   
Najib berkata pengurusan GLC diingatkan supaya tidak perlu bersikap apologetik kerana agenda yang dilaksanakan adalah penting demi menegakkan keadilan sosial dan mengekalkan kestabilan di negara ini yang mempunyai komposisi 67 peratus penduduk Melayu dan Bumiputera.

"Demi keadilan sosial dan kestabilan jangka panjang, orang Melayu dan Bumiputera mesti ditingkatkan kedudukan, seimbang, kongsi kekayaan," kata Najib.
   
Kata beliau pelaksanaan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera tidak akan menafikan hak kaum lain kerana matlamatnya adalah untuk mengukuhkan perpaduan seiring dengan pembangunan ekonomi negara menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
   
Mengenai program rasionalisasi subsidi, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun langkah berkenaan tidak popular tetapi ia penting demi mengekalkan kestabilan ekonomi jangka panjang selain memastikan ekonomi negara terus berdaya saing.
   
"Kadang-kadang, kita terpaksa, orang kata untuk mengambil kesusahan jangka pendek untuk keuntungan jangka panjang," katanya.
   
Kata Najib beban subsidi negara yang berjumlah RM46.64 bilion adalah terlalu besar berbanding peruntukan untuk pembangunan yang berjumlah RM49 bilion sehingga menyebabkan permasalahan struktur ekonomi.
   
Kata beliau hasil program rasionalisasi subsidi yang dijalankan, syarikat penarafan kredit antarabangsa, Moody's Credit Rating Services, telah menaik taraf prospek negara daripada A3 kepada A2.
   
Kata beliau penarafan oleh Moody's itu menunjukkan keberkesanan program yang dijalankan selain ekonomi negara yang semakin kukuh. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan