Halaman

Sabtu, 21 Disember 2013

FELCRA agih dividen kedua RM120.8 juta

FELCRA Bhd mengagihkan dividen keduanya tahun ini sebanyak RM120.8 juta untuk 73,000 peserta di seluruh negara.

Ia adalah tambahan kepada RM80 juta dividen pertama yang diagihkan Julai lalu dan dividen ketiga, iaitu yang terakhir bagi 2013 dijadual dibayar pada Mac tahun depan. 

Pengerusinya, Datuk Bung Moktar Radin, berkata setakat Oktober lalu sebanyak 1,092 ladang sawit, getah dan padi milik peserta FELCRA menjana keuntungan bersih bernilai RM172.58 juta. 


“Daripada keuntungan itu, 70 peratus atau RM120.8 juta untuk dividen kedua bertepatan dengan pembukaan persekolahan 2014 tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Bung Moktar sebelum itu menyampaikan replika cek dividen kepada Pengerusi Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Bhd, Ariffin Husain. Turut hadir, Ketua Eksekutif FELCRA, Datuk Ramlee Abu Bakar; Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Paduka Ghazali Ibrahim dan Pengurus Besar Korporat Hal Ehwal Peserta FELCRA, Mohd Fauzi Mohd Tahir.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, sebagai entiti perniagaan, FELCRA tahun ini mencatatkan hasil memberangsangkan meskipun berdepan cabaran penurunan harga sawit dan getah yang ketara.

Pelbagaikan perniagaan

Beliau berkata, FELCRA juga bercadang mempelbagaikan perniagaannya tahun depan dalam usaha meraih pendapatan lebih tinggi, sekali gus mengagihkan pulangan dividen lebih baik kepada peserta.

“Kami mahu meningkatkan hasil tahun depan berbanding yang diperoleh pada 2013, tetapi bergantung kepada pasaran. Namun, FELCRA bersedia menghadapi semua cabaran perniagaan,” katanya.

Dividen kedua tahun ini ialah hasil projek penyatuan dan pemulihan (P&P) di seluruh negara daripada sumber perladangan sawit, getah dan padi.

Hasil sawit sehingga Oktober 2013 ialah 1.67 juta tan metrik, meningkat 8.9 peratus berbanding 1.53 juta tan metrik sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Pengeluaran getah setakat Oktober lalu, bagaimanapun susut 12.5 peratus kepada 27.51 juta kilogram berbanding 31.44 juta kilogram tahun lalu. Hasil padi FELCRA sehingga Oktober lalu juga turun 7.36 peratus kepada 23,106 tan metrik daripada 24,943 tan metrik. 

Bung Moktar berkata 30 peratus daripada keuntungan bersih FECLRA akan dijadikan simpanan sebagai peruntukan membiayai kos operasi ladang, terutama baja sehingga akaunnya dimuktamadkan kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan