Halaman

Isnin, 23 Disember 2013

Gaji penguat kuasa kerajaan wajar naik


Gaji penguat kuasa pelbagai jabatan kerajaan wajar dinaikkan bagi mengurangkan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa. 

Kali terakhir gaji mereka dinaikkan adalah pada 1993 dan sudah tidak sesuai lagi dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi sekarang. 

Sehubungan itu, CUEPACS akan memberi keutamaan kepada perkara itu dalam rundingan dengan kerajaan untuk mengkaji semula gaji dan pelbagai elaun, sekali gus membantu meningkatkan integriti kumpulan itu bertanggungjawab mengutip hasil untuk negara. 



Menjelaskannya, Timbalan Presiden I CUEPACS, Zainal Ismail, berkata penjawat awam dalam bidang penguatkuasaan yang menerima gaji mengikut Gred 22 sekarang harus dinaikkan kepada Gred 26 hingga Gred 29 bagi melayakkan mereka menerima tangga gaji bertaraf diploma. 


Kurangkan rasuah 

“CUEPACS menunggu kerajaan mengumumkan 100 lagi skim penambahbaikan yang dijanjikan. Kami memberi tumpuan tuntutan kenaikan gaji kepada penjawat awam dalam bidang penguatkuasaan seperti di Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen, Kastam dan pihak berkuasa tempatan (PBT). 
“Memang kerajaan sudah mengumumkan 81 skim penambahbaikan sebelum ini tetapi ia adalah untuk penjawat awam dalam kumpulan pelaksana Gred 1 hingga Gred 10, iaitu menaikkan gaji mereka daripada kelayakan tangga gaji Darjah 6 kepada Penilaian Menengah Rendah (PMR). Kali ini kami memberi keutamaan kepada penjawat awam dalam bidang penguatkuasaan,” katanya kepada BH semalam. 

Beliau ditemui sebelum memberi penjelasan isu semasa berkaitan perjuangan CUEPACS kepada pemimpin dan ahli Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras dekat sini. 

Hadir sama, Presiden KPPJSM, Hamzah Masri. 

Beliau berkata, CUEPACS yakin jika gaji dan elaun kumpulan itu dinaikkan, gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan penjawat awam dalam bidang penguatkuasaan mampu dikurangkan. 


81 skim penambahbaikan 

Katanya, kira-kira 600,000 penjawat awam sudah menikmati manfaat daripada 81 skim penambahbaikan sebelum ini tetapi masih ada kira-kira 800,000 lagi penjawat awam, terutama dalam bidang penguatkuasaan, Pembantu Tadbir, Perkeranian dan Operasi, Pembantu Tadbir Kewangan dan Juruteknik Komputer yang harus dibela. 

Beliau berkata, CUEPACS turut mencadangkan supaya Imbuhan Tetap Perumahan, Elaun Khidmat Awam dan Elaun Sara Hidup kumpulan penjawat awam terbabit disemak semula kerana kadar yang sedia ada tidak mampu menampung kenaikan kos sara hidup semasa. 

Sehubungan itu, kesatuan sekerja sektor awam itu bercadang mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan