Halaman

Selasa, 24 Disember 2013

Ahli politik disaran fokus agenda negara

Dr Mansor Mohd Noor

Ahli politik di negara ini disarankan berhenti memainkan isu perkauman sebaliknya perlu lebih fokus kepada agenda negara.

Penganalisis politik, Prof Dr Mansor Mohd Noor berkata, ketaksuban ahli politik memperjuangkan isu perkauman itu menyebabkan berlaku keretakan dalam masyarakat.

“Parti politik di Malaysia sering kali mengorbankan agenda negara. Mereka lebih memperjuangkan kepentingan parti dan komponen lain yang diwakili sehingga berlaku keretakan dalam masyarakat.

“Contohnya,  mereka sibuk memperkasakan sekolah etnik masing-masing. Sepatutnya, kita kena fikir bagaimana nak memperkasakan sekolah kebangsaan. Supaya anak-anak kita berada di dalam satu sistem pendidikan, satu bumbung dan tidak terasing antara satu sama lain,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Menurutnya, murid-murid dipisahkan daripada kecil sehingga menyukarkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran masyarakat majmuk.

“Negara kita ada pelbagai etnik, kalau anak-anak kita dipisahkan daripada awal, bagaimana kita nak pastikan mereka hidup bekerjasama?

“Ini menyebabkan mereka jahil tentang kaum lain. Akibatnya, mereka datang dengan persepsi buruk. Bagaimana nak terbinanya penyatupaduan dalam negara kalau begitu?,” katanya.

Beliau turut menyatakan desakan agar sekolah kebangsaan diperkasakan demi kebaikan masa depan negara.

“Soal pendidikan, perkasakan sekolah kebangsaan dengan bahasa ibunda. Ini yang kita nak desak.

“Kita semua akan bersekolah di sekolah kebangsaan, sebelah petang ajarlah bahasa ibunda masing-masing. Supaya tak perlu belajar sekolah Cina, sekolah Tamil ataupun sekolah agama rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyarankan agar mata pelajaran sains sosial diajar di sekolah kebangsaan.

“Kalau kita nak pastikan orang pergi belajar di situ, maka setiap sekolah kerajaan mesti satu sesi. Tak boleh ada pagi sekolah lain, petang sekolah lain.

 “Kita kena ajar mereka dengan mata pelajaran sains sosial. Ajar mereka apa itu budaya, agama, kehidupan bermasyarakat supaya mereka mempunyai ilmu dan kemahiran untuk mengenal pasti diri mereka dan kumpulan-kumpulan lain serta perhubungan dengan yang lain,” katanya.

 Beliau yang juga Setiausaha Tugas Khas Majlis Profesor Negara (MPN) berpendapat, ahli politik terlalu meletak kepentingan diri dalam mendapatkan sokongan rakyat.

“Saya lihat resolusi mereka tak habis-habis dari merdeka sehingga kini. Itu juga yang mereka tuntut. Sampai bila kita nak capai tahap ekonomi yang maju, negara yang aman damai kalau begini? Kita tak fikir untuk membangun bersama. Asyik sibuk pertahan ketidakpuasan agenda etnik.

“...ini kerana ahli politik terlalu meletak kepentingan diri dalam mendapat undi daripada meletakkan agenda negara sebagai keutamaan. Mereka salah fokus. Beritahu mereka ini.

“Jadi, ahli-ahli politik dan parti-parti politik, patut hentikan daripada bermain agenda politik etnik yang sempit,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan