Halaman

Selasa, 24 Disember 2013

Kerajaan pantau aktiviti KRT

Kerajaan akan memantau lebih dekat aktiviti setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara menerusi sistem dalam talian, e-RT yang dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun depan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, berkata menerusi pelaksanaan sistem dalam talian itu, segala urusan permohonan, aktiviti serta laporan kewangan KRT akan dipantau bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program itu. 

Katanya, dengan pelaksanaan sistem e-RT, ia secara tidak langsung dapat membantu kerajaan mengesan KRT yang tidak aktif di sesuatu kawasan bagi memastikan badan sukarela itu berfungsi dengan baik. 

“Sehingga kini, hampir 95 peratus daripada 6,452 KRT sudah menggunakan aplikasi e-RT ini dan pelaksanaannya akan diperluaskan lagi mulai tahun depan agar kerajaan dapat memantau dan maklum berhubung sebarang aktiviti badan sukarela ini. 

“Saya menyeru agar KRT bergerak aktif dan melaksanakan semua aktiviti apatah lagi badan itu platform untuk membabitkan semua anggota masyarakat sama ada di bandar mahupun di luar bandar,” katanya selepas majlis perasmian bangunan dan Hari Keluarga KRT di Taman Tanjung Puteri Resort dekat sini, semalam. 

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Hassan dan Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Johor, Rajali Mudin. 
Rukun Tetangga diwujudkan di bawah Akta Rukun Tetangga 2012 yang sebelum ini dikenali sebagai Peraturan-Peraturan Perlu Rukun Tetangga 1975. 

Sehingga November lalu, sebanyak 6,452 KRT dan 3,900 Skim Rondaan Sukarela (SRS) diwujudkan di seluruh negara dan jumlah itu dijangka terus bertambah berikutan wujud lebih banyak kawasan perumahan baru. 


Lewat salur peruntukan 

Kurup berkata, bagi KRT yang dikesan tidak aktif, kerajaan akan meneliti semula dan kemungkinan bantuan yang disalurkan seperti peruntukan, akan lewat diterima badan berkenaan. 

“Justeru, saya menasihatkan anggota masyarakat memberi komitmen kepada setiap penganjuran aktiviti dibuat KRT kerana pembabitan kita dalam setiap aktiviti secara tidak langsung menerapkan agenda perpaduan dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan