Halaman

Selasa, 24 Disember 2013

Rayuan petisyen 3 Parlimen diterima

Petisyen pilihan raya Parlimen Bagan Datoh yang dimenangi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikembalikan ke Mahkamah Pilihan Raya bagi perbicaraan penuh. 

Perintah itu dibuat Mahkamah Persekutuan semalam, selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya calon PKR, Madhi Hasan dan seorang pengundi, Azmi Sulaiman. 

Panel lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dalam keputusan sebulat suara memutuskan sesiapa saja boleh memfailkan notis petisyen dan tidak semestinya pempetisyen saja. 


Turut bersidang, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordin. 

Mahkamah turut membenarkan dua lagi rayuan petisyen calon PKR bagi Parlimen Tapah dan Ketereh serta petisyen oleh seorang pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau, Perak. 

Kekal milik BN 

Sementara itu, kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Selangor kekal milik BN selepas mahkamah menolak petisyen dari pembangkang apabila memutuskan tiada alasan mengganggu penemuan dan keputusan hakim Mahkamah Pilihan Raya. 
Kerusi Parlimen Sungai Besar dimenangi Datuk Noriah Kasnon manakala Datuk Irmohizam Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Kuala Selangor. 

Bagaimanapun, panel sama menolak rayuan petisyen calon BN, Dr Dominic Lau Hoe Chai membabitkan kerusi Parlimen Batu dan pengundi, Mohamad Sazali Kamilan bagi Parlimen Lembah Pantai selepas memutuskan petisyen itu kekurangan fakta material dan tiada sebarang kuasa tindakan. 

Kedua-dua kerusi itu masing-masing dimenangi calon PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan