Halaman

Selasa, 24 Disember 2013

BEDP bantu 122 syarikat Bumiputera


PROGRAM Pembangunan Pengeksport Bumiputera (BEDP) yang dikendalikan MATRADE sejak 2004, setakat ini sudah membantu 122 syarikat Bumiputera mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa. 

Pengerusinya, Datuk Noraini Ahmad, berkata setiap tahun antara 10 hingga 12 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera yang layak akan dipilih bagi mengikuti program berkenaan. 

Tahun lalu, katanya syarikat yang mengikuti program BEDP berjaya mencatatkan jualan eksport sebanyak RM40.53 juta hasil daripada penyertaan mereka dalam pelbagai aktiviti promosi antarabangsa. 



Ketika ini, kebanyakan syarikat yang mengikuti program berkenaan adalah syarikat daripada sektor makanan dan minuman, minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), gaya hidup serta sektor perkhidmatan. 

“Ini menunjukkan program BEDP ini berjaya mencapai matlamatnya walaupun jumlah peruntukkan yang diterima oleh MATRADE adalah terhad,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam. 

Noraini bagaimanapun berkata, pihaknya sudah memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan bagi membolehkan program itu diikuti oleh lebih ramai usahawan Bumiputera. 

“Pada masa kini, MATRADE membelanjakan antara RM1 juta hingga RM2 juta menggunakan dana operasi MATRADE bagi melaksanakan program ini. Dengan adanya peruntukkan tambahan ini, usaha bagi meningkatkan bilangan usahawan PKS Bumiputera di pasaran antarabangsa akan dapat dicapai,” katanya. 
Katanya, syarikat yang terpilih untuk mengikuti program BEDP berpeluang menyertai mana-mana aktiviti promosi eksport antarabangsa selain seminar, bengkel dan latihan berkaitan eksport anjuran MATRADE di sepanjang tempoh tiga tahun program berkenaan. 

Selain BEDP, katanya MATRADE turut mengendalikan Program Pembangunan Pengeksport Wanita (WEDP) yang dimulakan sejak 2005, bagi membantu untuk mewujudkan lebih ramai pengeksport di kalangan usahawan wanita. 

Sehingga kini, katanya sebanyak 88 syarikat dipilih menyertai program berkenaan, dan tahun lalu sebanyak RM38.25 juta jualan eksport berjaya dicatatkan hasil daripada penyertaan syarikat dalam aktiviti promosi eksport. 

"Kejayaan untuk menembusi pasaran luar adalah satu peningkatan besar bagi sesebuah syarikat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan