Halaman

Selasa, 17 Disember 2013

Konsesi lebuh raya perlu ambil kira respons rakyat

Syarikat konsesi lebuh raya perlu menjalankan kajian daya maju dengan mengambil kira respons rakyat terhadap sebarang cadangan menaikkan kadar tol, kata Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar hari ini.
    
Beliau berkata kerajaan akan menganalisis daya maju cadangan itu termasuk mengkaji jumlah trafik dan daya maju komersial serta kedudukan kewangan konsesi.
    
"Ini untuk memastikan kadar tol yang ditetapkan mampu dibayar oleh pengguna lebuh raya," katanya kepada pemberita selepas perbincangan panel bertajuk "ETP Tiga Tahun Selepas Dilaksanakan" di sini hari ini.
    
Panel perbincangan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
    
Perbincangan mengenai cadangan menaikkan kadar tol tercetus berikutan kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof bahawa kadar berkenaan akan disemak semula tahun depan sejajar dengan perjanjian antara kerajaan dan syarikat konsesi.
    
Sebuah akhbar melaporkan kadar tol bagi 13 lebuh raya dijangkakan naik antara 30 sen dan RM1.
    
Abdul Wahid berkata jalan raya bertol adalah efisien dan cepat untuk pemandu yang bersedia membayar tol.
    
"Kepada mereka yang beranggapan kadar tol terlalu tinggi pada masa depan, mereka mempunyai pilihan untuk tidak menggunakan laluan bertol tetapi menggunakan jalan raya dibina oleh kerajaan," katanya.
    
Sementara itu, Abdul Wahid berkata pengendali lebuh raya PLUS Expressways Bhd mungkin melanjutkan tempoh konsesinya memandangkan ia mempunyai perjanjian dengan kerajaan untuk mengekalkan kadar tolnya sehingga 2015.
    
Pada Sabtu, Abdul Wahid berkata kadar tol sepatutnya sudah disemak semula pada 2011 selaras dengan kandungan dalam perjanjian konsesi, namun kadar itu dikekalkan, menyebabkan kerajaan terpaksa membayar RM400 juta duit pembayar cukai sebagai pampasan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan