Halaman

Selasa, 17 Disember 2013

Tol umpama makanan ruji, tak mampu dielak

Kenaikan kadar tol tahun hadapan bukan sekadar membimbangkan pengguna kenderaan dan lebuh raya, malah secara umumnya dikhuatiri akan memberi kesan kepada peningkatan kos lain.

Kenaikan itu sudah tentu akan memberi beban besar dan impak kepenggunaan rakyat dalam cabaran mengharungi kos sara hidup semakin tinggi berbanding pendapatan yang diperoleh.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail berkata, kerajaan perlu mempertahankan kadar bayaran tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan demi kebajikan rakyat.

Menurutnya, kenaikan kadar tol akan memberi dorongan untuk kenaikan kos-kos sampingan seperti pengangkutan awam, perdagangan dan barang-barang keperluan.

“Di bandar, tol seperti makanan ruji kepada penduduk. Kita bimbang sekiranya kenaikan harga tol akan turut meningkatkan kos-kos lain seperti tambang teksi dan bas serta barang-barang mentah akibat bebanan kos pengangkutan semakin meningkat.

“Perkara ini sangat tidak wajar, sebaliknya kerajaan juga perlu fikirkan cara untuk mengurangkan kadar bayaran atau menghapuskan tol khususnya di kawasan dalam bandar,” katanya, semalam.

Yusoff berkata, kerajaan perlu berpandangan jauh dalam isu terbabit dan meneliti semula cadangan berkenaan.

“Kerajaan perlu prihatin dengan kos sara hidup rakyat dan tidak menekan dengan pelbagai kenaikan. Kenaikan harga gula tetap kenaikan walaupun yang dilakukan kerajaan ialah mengurangkan subsidi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan