Halaman

Selasa, 17 Disember 2013

Sejuta penduduk KL, Selangor bakal berdepan gangguan bekalan air

Gambar hiasan
 Kira-kira sejuta penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur bakal berdepan gangguan bekalan air bermula Selasa depan.
Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memaklumkan, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana proses henti tugas sementara di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Dua.
Henti tugas itu adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaiktaraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama seperti papan suis dan paip keluli.
Gangguan berkenaan akan bermula pada 8 pagi 17 Disember manakala tempoh pemulihan dijangka bermula 9 malam secara berperingkat.
Menurut Syabas, keseluruhan pengguna hanya akan dapat menerima bekalan air pada 8 pagi 22 Disember.
Gangguan bekalan air berkenaan melibatkan 217,694 akaun pengguna.
Ia turut melibatkan beberapa kawasan penting seperti Kelab Diraja Selangor, Pusat Sains Negara, Kompleks Kerajaan Jalan Duta dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Bekalan air di kebanyakan kawasan dijangka pulih dalam tempoh 24 jam.
Kawasan tinggi dan jauh dari sumber air khususnya di sekitar Petaling, Kuala Lumpur dan Klang/Shah Alam adalah kawasan terakhir yang akan pulih sepenuhnya.
Ekoran perkembangan itu, pengguna dinasihat menyimpan bekalan air secukupnya.
Ini kerana tiada lori tangki akan dibekalkan semasa tempoh gangguan itu kecuali hospital, pusat dialisis dan rumah ibadat, memandangkan notis awal telah dikeluarkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan