Halaman

Selasa, 17 Disember 2013

Tidak boleh hapus tol sewenang-wenang

Penghapusan tol tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya kerana boleh mendedahkan kerajaan kepada pelbagai tuntutan ekoran pelanggaran perjanjian dengan syarikat konsesi, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata tindakan itu boleh melibatkan implikasi kewangan yang besar.
Bagi meringankan beban rakyat, kerajaan telah berbincang dengan syarikat konsesi lebuh raya yang membawa kepada kajian semula kadar tol di beberapa lebuh raya, malah pemegang konsesi Lebuhraya Utara-Selatan juga bersetuju tidak menaikkan kadar tol dalam tempoh lima tahun, katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.
Menjawab dakwaan Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) kerajaan sengaja mencari alasan untuk mengenakan tol sedangkan beberapa negara lain tidak berbuat demikian, Fadillah berkata kerajaan menyediakan jalan persekutuan yang baik sebagai alternatif kepada pengguna.
Katanya kerajaan juga memberi peruntukan kepada kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan seliaan kerajaan negeri termasuk Selangor yang menerima lebih RM498 juta setahun.
"Peruntukan ini diberi mengikut panjang jalan yang diisytiharkan oleh pihak negeri yang disalur terus kepada kerajaan negeri, bukan melalui Jabatan Kerja Raya atau kementerian," katanya menjawab celahan Mohd Azmin Ali (PKR-Gombak) sebelum itu. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan