Halaman

Khamis, 12 Disember 2013

'Kami belum terima pelawaan minum teh'

Selepas beberapa hari Perhimpunan Agung Umno berlalu, Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusoff bagaimanapun masih belum menerima apa-apa pelawaan 'minum teh' sepertimana yang dinyatakan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Kita Muslimat, tak dapat apa-apa pelawaan daripada dia (Shahrizat), kita sentiasa terbuka untuk muzakarah.

"Kami tak akan tunggu macam itu saja pelawaan itu, kami tak akan membazirkan masa kami.

"Tapi kalau itu setakat nak gimik politik... kami banyak kerja lain nak buat," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.  

Siti Zailah berkata demikian ketika ditanya sama ada Dewan Muslimat ada menerima sebarang pelawaan daripada Wanita Umno, yang sebelum ini mahu menjadi pemangkin kepada muzakarah pertama Umno-Pas.

Shahrizat pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu lalu menyatakan, Wanita Umno bakal memulakan langkah pertama muzakarah dengan Dewan Muslimat Pas sebaik Perhimpunan Agung Umno kali ini selesai.

"Wanita Umno menjadi ejen perpaduan. Kita akan mulakan Islam dengan Islam. Saya kenal beberapa pemimpin Muslimat, saya akan mulakan silaturahim yang pertama.

"Ini bukan atas dasar politik. Mungkin kita mula dengan minum teh. Saya akan buat jemputan selepas Perhimpunan Agung Umno ini tamat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti Zailah berkata, Muslimat Pas kini menumpukan usaha membantu rakyat yang terjejas akibat banjir.

"Kita sekarang ini, daripada tunggu untuk muzkarah, kita sedang sibuk tolong mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal dan keperluan asas.

"Lebih elok kita lakukan apa yang perlu dahulu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan