Halaman

Khamis, 12 Disember 2013

Isu Syiah 'hilang' jika Umno, Pas bersatu?

Umno yang mengaitkan ajaran Syiah dengan pemimpin nombor dua Pas itu hanya sekadar khabar angin "lama" jika tidak ada tindakan dilakukan.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, perkara itu cuba dibangkitkan untuk menonjolkan parti masing-masing di hadapan rakyat sebagai  pejuang, khususnya dalam agama Islam dan kaum Melayu.

Menurutnya, perkara berkaitan agama Islam dan kaum Melayu telah lama digunakan oleh Umno dan Pas termasuk isu Syiah untuk mengekalkan sokongan rakyat.

"Bagi saya isu Syiah ini sebenarnya bukan perkara besar bagi kedua pemimpin terlibat, ia hanya sekadar untuk menghangatkan Perhimpunan Agung Umno contohnya.

"Sebab saya lihat perkara ini telah lama, khabar angin yang mengaitkan pemimpin nombor dua Pas ini sering diperkatakan namun tiada tindakan, akhirnya senyap," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menggemparkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2013 apabila meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan ke atas orang nombor dua Pas kerana didakwa mengamalkan ajaran Syiah.

Ahmad Zahid  ketika sesi penggulungan PAU itu berkata, telah memberikan 'lampu hijau' kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang portfolio agama menjalankan tugasnya.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam Pas. Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya.

Dalam pada itu, Azizuddin berkata isu Syiah ini mungkin hilang jika Pas dan Umno bergabung.

"Kalau dari sudut lainnya, isu Syiah yang sering dibangkitkan sejak dulu lagi, ia mungkin akan hilang begitu saja jika kedua-dua parti ini bersatu.

"Namun kalau KDN ada bukti, mereka boleh dedahkan dan ambil tindakan, ini juga isu akidah umat Islam," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam isu tersebut, Jakim yang akan memainkan peranan besar untuk mengambil tindakan terhadap pengamal ajaran Syiah itu.

"Kalau kita tengok kenyataan Ahmad Zahid itu, dia telah serahkan tugas kepada Jakim, jadi Jakim yang terbeban sebenarnya.

"KDN sudah boleh cuci tangan," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan