Halaman

Isnin, 25 November 2013

Kemenangan Sudah Dijangka

Salahuddin, Tuan Ibrahim, Husam

Gandingan trio Naib Presiden Pas baru menyaksikan kemenangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menepati jangkaan beberapa pihak termasuk penganalisis politik.

Beliau menang dengan 849 undi bersama dua penyandang, Salahuddin Ayub (917) dan Datuk Husam Musa (520).

Sementara Datuk Mahfuz Omar dan Abu Bakar Chik tewas dalam perebutan jawatan itu apabila hanya memperoleh 504 undi dan 324 undi.

Penganalisis politik berpendapat, Pas memerlukan pelengkap daripada golongan profesional dan ulama bagi memacu agenda Islam yang diperjuangkan selama ini pada era kemajuan dunia.

Profesor Mohd Bustamam Abd Karim berkata, golongan ulama dan golongan profesional memerlukan antara satu sama lain.

“Dalam dunia serba moden ini, kita perlukan orang-orang profesional. Apa pun mereka tetap kena rujuk kepada golongan ulama. Mereka kena sedar dan ulama juga kena sedar. Ini pelengkap antara satu sama lain.

“Kalau kita ulama saja, bila kita cerita tentang realiti kepada dunia ini, mereka (ulama) tak tahu. Jadi, dua-dua kena kerjasama. Kombinasi itu bagus,” katanya kepada Sinar Harian Online, ketika dihubungi, hari ini.

Menyentuh soal profesionalisme, beliau mengambil contoh pendakwah terkenal dunia, Dr Zakir Naik.

“Dr Zakir Naik merupakan seorang doktor tetapi pengetahuannya sangat luas meliputi semua bidang. Semua perkara beliau boleh bahas.

“Dalam Pas, kalau nak kuat, kena kuat begitu (Dr Zakir) supaya ia tidak dilabel sebagai parti yang ortodoks atau yang susah nak disesuaikan kepada kemajuan dunia. Pas sangat relevan kepada Malaysia walau apa pun Karpal Singh cakap,” katanya.

Sementara, Profesor Dr Mansor Mohd Noor melihat kematangan yang berlaku terhadap perwakilan Pas ketika memilih pemimpin dalam Muktamar Pas ke-59 ini.

“Kalau kita lihat, dalam jawatan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu menang berbanding Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, sedangkan Mohd Amar itu watak agama. Jadi, dalam politik ini, mereka memilih bukan saja watak agama tetapi watak yang boleh berperanan dalam kepelbagaian masyarakat.

“Begitu juga keseimbangan dalam jawatan Naib Presiden. Ini menunjukkan bahawa perwakilan Pas agak matang dalam hal ini. Mereka memilih bukan semata-mata ulama untuk memimpin Pas,” katanya.

Katanya, perwakilan Melayu tanpa mengira parti lebih memilih untuk mengekalkan penyandang berbanding memilih muka baru.

“Apabila melihat barisan pemimpin yang dipilih ini, saya berpendapat, ia sama seperti yang berlaku dalam Umno. Perwakilan Melayu ini lebih mengutamakan perpaduan dan lebih suka pilih penyandang berbanding memilih yang baru. Tapi jawatankuasa mereka pilih muka baru.

“Jika Pas mahukan perubahan, persoalannya, sejauh mana pemimpin lama ini boleh bekerjasama dengan pemimpin baru? Mampukah pemimpin muda ini membuat perubahan dalam parti? Kerana jika mereka tidak boleh bekerjasama dan tak boleh membuat pembaharuan, maka Pas akan berterusan hilang pengaruhnya dalam masyarakat,” katanya.

Profesor Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula tidak pasti sama ada kombinasi Tuan Ibrahim bersama dua penyandang dalam jawatan Naib Presiden itu bakal terus memantapkan Pas ataupun sebaliknya.

“Pendekatan politik Tuan Ibrahim dilihat agak sederhana dan tidak agresif. Beliau seperti Salahuddin. Husam dan Mahfuz agak agresif tetapi pada pandangan saya, Husam lebih agresif.

“Kombinasi ini saya tak pasti sama ada ia boleh memantapkan Pas daripada dalam tetapi ia dilihat lebih kepada kompromi dalaman Pas yang melihatkan pertembungan antara golongan profesional dengan golongan ulama.

“Kemenangan Husam itu sesuatu yang mengejutkan bagi saya sebab saya jangka mungkin akan berlaku sabotaj ke atas beliau di Kelantan. Kemenangannya menunjukkan dalam kalangan ahli Pas juga mahukan seorang yang kritikal dan keras untuk ‘check and balance’ dalam parti,” katanya.

Azizuddin akui tidak melihat sebarang perubahan dasar politik meskipun dengan kemasukan Tuan Ibrahim dalam jawatan ketiga tertinggi parti itu.

“Apa yang saya lihat, mungkin tak akan berlaku banyak perubahan dasar yang akan dibuat oleh Pas kerana pemimpinnya masih sama. Walaupun Tuan Ibrahim orang yang baru masuk dalam trio Naib Presiden itu, tak nampak dia akan bawa satu agenda yang berlainan daripada agenda sedia ada dalam Pas.

“Seperti yang kita tahu, beliau seorang yang lebih mengikut parti daripada membuat agenda atau pendekatan politik lain,” katanya.

Pertikaian mengenai kepimpinan ulama dalam parti telah dibawa dalam Muktamar Pas Tahunan kali ini melalui Dewan Pemuda Pas.

Pemuda mengusulkan agar penekanan terhadap kepentingan Pas diterajui oleh kepimpinan ulama namun usul itu ditolak kerana dikatakan melanggar Perlembagaan parti.

Namun, keputusan pemilihan menunjukkan perwakilan masih mahu golongan ulama menerajui pucuk pimpinan Pas selepas mengekalkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menang tanpa bertanding.

Sementara, jawatan Timbalan Presiden terus diberikan kepada Mat Sabu dan dua penyandang jawatan Naib Presiden iaitu Salahuddin Ayub serta Husam Musa.

Manakala Tuan Ibrahim diberi kepercayaan untuk bersama trio Naib Presiden itu tetapi Mahfuz tersingkir.

Barisan AJK Pas Pusat pula menyaksikan 60 peratus muka-muka baru yang berlatar belakangkan ulama dan profesional dipilih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan