Halaman

Rabu, 13 November 2013

Mansuhkan saja kursus tidak relevan


MASALAH kebanjiran siswazah menganggur di negara ini bagaikan tidak terbendung lagi. Sejak dari penghujung 2001 lagi, kerajaan telah melancarkan pelbagai skim untuk membantu para pekerja yang diberhentikan, penganggur, dan tidak terkecuali lepasan siswazah.
Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Datuk Mustapha Mohamed ada mendedahkan bahawa antara punca siswazah menganggur adalah kerana memilih kursus yang tidak sesuai atau tidak relevan dengan pasaran pekerjaan. Ini ditambah lagi dengan sikap pelajar bumiputera yang lebih gemar memilih kursus yang mudah berbanding bidang lain yang lebih mencabar dan leka mengulang kaji pelajaran.
Bagaimanapun, kenyataan Pengerusi MTEN itu seolah-olah menunjukkan bahawa bidang `sastera' tidak memberi apa-apa sumbangan terhadap kerjaya mahupun pembangunan negara. Bagaimana ini boleh berlaku? Kalau begitu, apa gunanya pe-ngajian tersebut ditawarkan selama berpuluh-puluh tahun di universiti jika tidak berguna langsung kepada masyarakat dan negara?
Kita seharusnya faham bahawa tidak semua kursus yang ditawarkan di universiti dapat diikuti oleh pelajar. Ia berdasarkan kelayakan pemohon juga. Kalau sudah kelayakan pelajar itu hanya setakat bidang sastera, takkanlah hendak memohon ke Fakulti Kejuruteraan, atau sekurang-kurangnya sains.
Ini bergantung pada pendidikan asas yang diterima pelajar semasa di sekolah. Jika belajar di aliran sastera atau perdaga-ngan, tak mungkin mereka dapat menguasai bidang sains ketika di universiti. Sekurang-kurangnya mereka boleh belajar kursus undang-undang, ekonomi, sejarah, geografi, komunikasi atau sebagainya.
Pada pandangan saya, itu memang benar kerana ia adalah berdasarkan kajian MTEN sendiri. Namun, hendak menyalahkan pelajar terutamanya bumiputera, tidak wajar juga kerana kursus tersebut ditawarkan dalam pengajian di universiti.
`Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai'. Kalau hendak menyalahkan pelajar sekalipun, eloklah kita kembali menilai dasar pendidikan negara terlebih dahulu. Kalau takut ramai siswazah sastera yang menganggur, tak perlulah dihadkan aliran sastera (40 peratus) dan sains (60 peratus) seperti sekarang ini. Lebih baik diperbanyakkan kuota untuk aliran sains, (80:20).
Ini berlainan pula dengan kenyataan Prof. Diraja Ungku Aziz yang mengatakan bahawa universiti bukan tempat menawarkan pekerjaan, tetapi menawarkan ilmu. Jadi, itu pandangan Pak Ungku, maka tidak salahlah kalau para pelajar bumiputera memilih bidang sastera (yang mengikut kajian MTEN sebanyak 95 peratus) sekadar untuk menimba ilmu pengetahuan.
Tetapi, masalah timbul apabila ilmu yang dipelajari tersebut tidak dapat diaplikasikan atau dimanfaatkan dalam bidang kerjaya mereka. Apatah lagi dengan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah menjadi batu penghalang untuk mendapat tempat dalam pekerjaan. Dalam keadaan ini, peluang mengikuti bahasa Inggeris untuk graduan harus direbut oleh siswazah bumiputera.
Kalau kita lihat senario pe-luang kerja sekarang, rata-rata majikan terutama swasta meletakkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai antara syarat penting selain kelayakan akademik. Malah, kemahiran menggunakan bahasa lain juga merupakan satu kelebihan. Jadi ke mana hendak dicampakkan lepasan graduan bumiputera ini?
Menyentuh tentang skim latihan graduan ini pula, pelbagai masalah yang timbul ekoran daripada perancangan dan pengurusan yang tidak teliti. Namun langkah kerajaan untuk mengkaji semula pengisian program dalam Skim Sangkutan dan Latihan (SSL) ini adalah satu langkah bijak. Mana tidaknya, skim yang diharapkan dapat membantu lepasan siswazah menganggur berlaku sebaliknya, apabila bayaran elaun begitu lewat dan tertunggak lama. Ini menyebabkan ramai yang tidak berpuas hati dan mengambil keputusan menarik diri.
Persoalannya di sini, mengapa kursus yang sudah `lapuk' dan `jumud' serta tiada prospek kerjaya itu masih ditawarkan di universiti sedangkan kerajaan sendiri sedia maklum ia tidak menjanjikan peluang pekerjaan kepada lepasan siswazah. Bukankah ini hanya merugikan negara?
Sudahlah kerajaan menawarkan pinjaman pendidikan, tetapi apabila pelajar terbabit tamat pengajiannya, bagaimanakah ia hendak melunaskan hutangnya kembali?
Ada baiknya kursus-kursus yang dikenal pasti tidak menepati pasaran pekerjaan dimansuhkan sahaja atau diperbaiki dengan memasukkan sukatan atau silibus baru, sesuai dengan permintaan pasaran pekerjaan masa kini.
Namun, bagaimana pula de-ngan nasib para pensyarah yang ditugaskan mengajar kursus-kursus yang sudah tidak relevan itu sekiranya kursus tersebut dimansuhkan di IPTA? Apa gunanya pihak kerajaan dan universiti membayar gaji dan membiayai lanjutan pengajian serta penyelidikan mereka?
Ini akan menimbulkan pula masalah pengangguran di kala-ngan ahli akademik dan cendekiawan. Ke manakah mereka ini akan diserapkan? Sudah tiba masanya untuk kerajaan dan pihak universiti mengkaji semula kursus-kursus yang ditawarkan di IPTA untuk diselaraskan bersesuaian dengan kehendak pekerjaan di negara ini.
`Jangan sudah terhantuk baru nak tengadah'. Masih belum terlambat untuk melakukannya, asalkan pihak universiti, pensyarah dan kerajaan bekerjasama menggemblengkan tenaga demi membantu meringankan nasib para siswazah yang bakal menerajui pembangunan negara. Rakyat Malaysia harus sedar daripada mimpi, dan menerima hakikat bahawa negara ini bukan lagi lubuk rezeki seperti dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan