Halaman

Rabu, 13 November 2013

Rakyat Malaysia tolak revolusi ala 'Arab Springs'


Rakyat Malaysia pasti akan menolak revolusi ala-Arab atau Arab Springs kerana tiada alasan untuk terikut-ikut, apatah lagi setelah melihat kesan buruk berpanjangan akibat revolusi seumpama itu, menurut beberapa penganalisis dan pemerhati politik.

Lantaran itu sebarang usaha parti pembangkang untuk cuba membangkitkan penentangan rakyat terhadap kerajaan menerusi protes jalanan pasti tidak akan mendapat sokongan majoriti penduduk Malaysia.

Penganalisis politik Dr Kaisan Abdul Rahman memberikan lima alasan kenapa rakyat akan menolaknya, iaitu:

* Amalan demokrasi di Malaysia terbukti sudah cukup baik dengan pilihan raya tetap diadakan lima tahun sekali tanpa gagal dan proses demokrasi yang mapan sehingga membawa kemajuan negara yang membanggakan dan kesejahteraan hidup rakyat.

* Melalui pilihan raya umum, rakyat boleh memilih kerajaan yang mereka mahu dan suara majoriti sentiasa dihormati dengan bukti yang jelas apabila empat negeri kini diperintah pembangkang.
   
* Rakyat Malaysia yang bijak tahu muslihat sebenar di sebalik percubaan untuk mencetuskan huru hara yang didalangi pembangkang, yang bukan untuk memenuhi tuntutan yang mereka dakwa, sebaliknya untuk kepentingan pemimpin pembangkang yang rakus untuk berkuasa walaupun dengan mengorbankan kesejahteraan rakyat dan imej negara.

* Rakyat Malaysia tidak sebodoh yang disangka oleh pembangkang untuk mengubah kerajaan yang ada, apatah lagi mengorbankan keamanan dan kerukunan hidup serta merosakkan pertumbuhan ekonomi yang mantap yang telah dibina sejak lebih 50 tahun lepas.

* Kerajaan yang diterajui Barisan Nasional sekarang begitu telus, malah sentiasa berusaha memperbaiki prestasi untuk meningkatkan kebajikan rakyat melalui pelbagai program dan bantuan, yang mana di negeri-negeri diperintah pembangkang hanya tinggal janji kosong.

"Saya yakin berapa kali lagi pun pembangkang menganjurkan perhimpunan, ia tidak akan berhasil mencetuskan Arab Springs, malah akan membuatkan rakyat lebih membenci kerakusan pembangkang. Rakyat Malaysia sangat menghargai keamanan yang dinikmati sekarang," katanya kepada Bernama.

Beberapa pemerhati politik pula berkata, Arab Springs tidak akan menjangkiti Malaysia kerana kerajaan hari ini cukup sedar dan peka dengan permasalahan dihadapi rakyat selain berusaha menyediakan langkah konkrit untuk menyelesaikan sesuatu kemelut contohnya rasuah, kemiskinan serta penggangguran.

Ini ditambah pula dengan keadaan negara yang aman damai serta maju yang kini dikecapi rakyat, tiada sebab untuk mereka berasa tidak berpuas hati dan turun ke jalanan untuk mengadakan protes seperti yang dilakukan di beberapa negara Arab.

Antara negara Arab yang terlibat dalam revolusi ialah Tunisia, Mesir, Yaman, Libya dan Syria, yang sehingga kini mengalami rentetan masalah keganasan yang berterusan dan impian mendapat sebuah kerajaan yang lebih baik hanya tinggal impian.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, revolusi di beberapa negara Arab berikutan sistem pemerintahan yang diamalkan tidak baik, yang membawa protes jalanan untuk menuntut sistem pemerintahan lebih demokrasi.

"Tetapi dalam konteks Malaysia, tiada rakyat yang mahukan revolusi sebab kita telah mempunyai sistem demokrasi yang baik dan kita juga telah maju daripada segi politik, ekonomi dan sosial.

"Tak mungkin revolusi Arab akan berlaku di negara ini, cuma percubaan itu ada daripada pihak-pihak tertentu demi kepentingan sempit mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata di Malaysia, tiada keperluan untuk mengadakan revolusi kerana negara telah lama mengamalkan demokrasi dan adalah malang bagi rakyat jika percaya kepada momokan pembangkang bahawa sistem pentadbiran kerajaan bersifat menindas mereka.

"Jika mereka percaya kepada pembangkang, maka akan hancurlah negara. Adalah bodoh bagi mana-mana rakyat untuk menerima bulat-bulat hasutan pembangkang untuk mewujudkan revolusi yang nyata hanya untuk kepentingan individu tertentu sahaja," katanya.

Ahmad Atory yakin golongan kelas menengah yang besar di negara ini akan menjamin tidak berlakunya revolusi kerana mereka tentunya tidak mahu negara yang sudah sedia maju dalam pelbagai bidang kembali terkebelakang selepas berlakunya revolusi.

"Kalau ada golongan middle class di sesebuah negara, ini jelas menunjukkan negara tersebut maju. Jika pembangkang memerintah, adakah nasib golongan ini, golongan miskin akan terbela? Boleh ke pembangkang jamin pelaburan Amanah Saham Bumiputera, Tabung Haji kekal?

Rakyat yang kini terdedah dengan pelbagai maklumat akan berfikiran matang dan boleh menilai apa yang dilakukan kerajaan itu baik atau tidak dan membandingkannya dengan realiti di negara-negara lain, katanya.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, Che Hamdan Mohd Razali pula berpendapat ketelusan dan keterbukaan kerajaan dalam sesuatu isu tidak memungkinkan revolusi terjadi.

"Kecekapan pentadbiran kerajaan dan juga keterbukaan kerajaan untuk memberi maklum balas dalam sesuatu isu amat dihargai oleh semua rakyat termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai 'check and balance'. Inilah bezanya Malaysia dengan negara-negara Arab tersebut.

"Di setengah negara Arab, mana-mana pihak yang memberi pandangan ke atas pentadbiran kerajaan akan ditangkap, berbanding Malaysia yang mana NGO sendiri bebas memberi pandangan dan kerajaan akan respons dengan baik. Inilah amalan demokrasi yang baik," katanya.

Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah juga yakin revolusi negara Arab tidak akan menjangkiti Malaysia kerana kerajaan hari ini sentiasa melakukan perubahan demi kebaikan rakyat.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah pun melaksanakan pelan transformasi yang baik. Lantaran itu saya yakin revolusi itu tidak akan berlaku memandangkan keadaan di negara Arab dan Malaysia berbeza selain perbezaan dari segi budaya," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Dr Kaisan pula meminta rakyat jangan menghadiri perhimpunan anjuran pembangkang walaupun perhimpunan itu mendapat kebenaran kerana pembangkang tidak akan dapat menjamin ia berlangsung dengan aman dan jika berlaku sesuatu tidak diingini pembangkang tidak akan bertanggungjawab malah akan menyalahkan pihak lain seperti sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan