Halaman

Khamis, 12 Disember 2013

Menteri jamin rahsia kerajaan selamat

Kerajaan melaksanakan langkah-langkah keselamatan perlindungan bagi menjamin keselamatan data, dokumen dan rahsia rasmi negara supaya tidak jatuh ke tangan negara asing atau pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, antaranya ialah pelaksanaan sistem tapisan keselamatan dan sistem e-Vetting terhadap penjawat, kontraktor atau vendor yang memberi perkhidmatan kepada kerajaan dan pekerja swasta yang bertugas di sasaran penting negara.

Selain itu, beliau berkata, Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (KPKK) sentiasa memastikan dokumen dan maklumat rahsia rasmi dilindungi berdasarkan peraturan sedia ada.

"Kerajaan melalui Pejabat Ketua Keselamatan Kerajaan tidak menerima laporan rasmi dari kementerian, jabatan atau agensi mengenai (dakwaan) kes-kes pengintipan rahsia kerajaan seperti yang disiarkan media," kata Shahidan menjawab soalan Senator Mariany Mohammad Yit di Dewan Negara hari ini.

Mariany meminta kerajaan menyatakan status dan tahap pengurusan keselamatan data, dokumen dan rahsia negara dan tindak balas kerajaan terhadap ancaman pengintipan dan pencerobohan asing. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan