Halaman

Khamis, 21 November 2013

Karpal tak pergi Muktamar Pas ke??

SEDIKIT SEBANYAK, muktamar tahunan Pas kali ke-59 yang membuka tirainya malam ini sudah tercalit dengan sedikit noda hitam.

Kenyataan oleh Karpal Singh awal bulan lalu nampaknya bukan sahaja menjadi topik hangat di warung-warung kopi tepi jalan namun sudah sampai ke tahap 'serius'.

Beberapa pimpinan Pas kelihatan "berang" dengan kenyataan pemimpin DAP itu apabila beliau dilaporkan berkata, parti atau persatuan yang berasaskan kaum atau agama sepatutnya dibatalkan pendaftaran mereka.

Walaupun ada yang kembali 'cool' selepas Karpal yang dibantu Lim Kit Siang menjelaskan kononnya itu hanya salah faham, ia belum cukup untuk mengakhiri kisah di antara Pas-Karpal.

Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss antara yang masih bingung dan mahu Karpal menjernihkan situasi itu selepas perbalahan tercetus antara keduanya.

Perbalahan yang bukan lagi rahsia ini pastinya menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pimpinan parti gabungan dalam perikatan ini kerana ia kelak menjejaskan reputasi perikatan itu.
Walau ada yang kata malas mahu ambil pusing, namun hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah jalan penyelesaian harus segera dicapai.

Seorang penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang memerhatikan perkembangan dalam kes ini percaya, bersua muka adalah jalan terbaik supaya hubungan 'kekeluargaan' Pas dan DAP (sebenarnya lebih kepada Karpal) dapat dipulihkan.

"Terpulang kepada Pas. Kalau dijemput, (Karpal) perlu hadir.

"Kalau saya jadi Pas, saya akan jemput dan kalau saya jadi Karpal, saya akan hadir," ujar beliau kepada Sinar Harian Online.

Tambah Agus, kehadiran Karpal ke muktamar Pas, jika beliau dijemput, mampu menghapuskan persepsi yang membelenggu ahli Pas tentang kejujuran pemimpin DAP itu.

"Kalau pergi ia dapat menjawab kepada banyak kekeliruan dan persoalan pada hari ini," jelasnya.

Sementara itu, penyandang Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi ketika dihubungi berkata, sudah menjadi tradisi Pas akan menjemput wakil parti lain untuk menyertai muktamarnya.

Jemputan tidak bernama itu membolehkan parti-parti gabungan menghantar wakil mereka sebagai pemerhati ketika muktamar sedang berlangsung.

"Bagi saya kita tidak ada masalah dengan DAP.

"Pandangan Karpal itu saya anggap pandangan terpencil dalam parti. Bukan dia tak tahu dasar parti. Bagi saya, saya tak nak layan, buang masa," katanya di awal perbualan.

Walau dilihat enggan ambil pusing kerana menyifatkan perkara itu "banyak menghilangkan tumpuan", Nasrudin berkata, isu Karpal ini bukanlah suatu perkara yang besar.

Ditanya adakah beliau berharap Karpal akan hadir ke muktamar parti itu bagi menjernihkan keadaan yang keruh di antara Pas dan Pas, "saya harap dia datang dengan sendiri"," ujar Nasrudin.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan