Halaman

Khamis, 21 November 2013

Dah salah mintaklah maaf,susuah ke??

Pengerusi DAP, Karpal Singh sepatutnya minta maaf jika benar beliau mengeluarkan kenyataan supaya parti politik dan badan profesional berasaskan kaum dan agama termasuk Pas dibatalkan pendaftarannya.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Karpal perlu mohon maaf jika benar pernah membuat kenyataan itu walaupun hanya pandangan peribadi dan bukan pandangan DAP.

“Macam saya pernah cakap, Karpal Singh seorang sahaja dalam Pakatan Rakyat (ada pandangan itu). Dia bercakap dari sudut pandangan (peribadi) dia, bukan pandangan daripada Pakatan Rakyat, jadi biarkan dia.

“Kalau betul dia buat kenyataan seperti dilaporkan, memang dia sepatutnya minta maaf,” katanya selepas merasmikan pembukaan kilang baharu di tapak perlombongan emas di Hutan Simpan Sokor, dekat sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif CNMC Goldmine Holdings Limited, Prof Lin Xiang Xiong.

Mohd Amar berkata demikian ketika ditanya sama ada Karpal Singh perlu meminta maaf walaupun kenyataannya itu bersifat peribadi.

Menurut Mohd Amar, permohonan maaf itu perlu dibuat Karpal atas dua sebab terutama mengambil kira kedudukan Pas sebagai rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat.

“Keduanya, kerana dia (Karpal) menyentuh sensiviti (dasar perjuangan Pas). Jadi memang sepatutnya dia minta maaf,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Mohd Amar bagaimana pun tidak pasti kenyataan sebenar dibuat Karpal kerana dia sendiri belum lagi mendengar rakaman kenyataan tersebut.

Karpal sebelum ini dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menyarankan supaya pendaftaran parti politik dan badan profesional berdasarkan agama dan kaum termasuk Pas dibatalkan.

Walaupun disifatkan sebagai pandangan peribadi, kenyataan Karpal mendapat bantahan pemimpin Pas termasuk Dewan Muslimat Pas yang mendesak supaya pemimpin veteran DAP itu memohon maaf.

Ia susulan pendedahan Dewan Pemuda Pas Pusat yang mendakwa ada bukti Karpal berbohong apabila menafikan beliau mengaitkan Pas dalam kenyataan tersebut.

Dewan Pemuda Pas Kelantan pula dilaporkan mendesak DAP supaya mengambil tindakan terhadap Karpal sekiranya beliau masih berkeras dan tidak mahu mengakui kesalahannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan