Halaman

Khamis, 21 November 2013

Selangor tak keluar lesen burung walit

Kerajaan Selangor memberi tempoh sehingga 31 Disember ini bagi pengusaha burung walit dari kawasan komersial dan sawah padi memindahkan penternakan mereka ke kawasan berstatus pertanian.
   
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri Datuk Teng Chang Khim berkata kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan lesen kepada mereka yang mahu berbuat demikian selepas tarikh itu.
   
Kerajaan negeri sudah memberi masa secukupnya untuk pengusaha burung walit terbabit berpindah ke kawasan pertanian, katanya menjawab soalan Lai Nyuk Lan (DAP-Sungai Pelek) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini hari ini.
   
Teng berkata pengusaha burung walit yang berpindah ke kawasan pertanian akan menikmati pengecualian cukai taksiran, cukai tanah dan lesen perniagaan untuk tempoh lima tahun bermula daripada tarikh keluar dari premis asal.
   
Sementara itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata secara purata kerajaan negeri mengutip cukai tanah lebih RM300 juta setahun bagi tempoh 2008 hingga 2012.
   
Tahun lepas daerah Petaling mencatat kutipan tertinggi kira-kira RM137 juta, diikuti Klang sebanyak RM91 juta dan paling rendah Sabak Bernam iaitu kira-kira RM2.6 juta, katanya menjawab soalan Ng Sue  Lim (DAP-Sekinchan). - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan