Halaman

Khamis, 21 November 2013

Pas pula tak faham Bahasa Inggeris

Pemuda Pas menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyebut pemimpin Pas tidak faham bahasa Inggeris sebagai angkuh.

Sebelum ini, Pemuda Pas menuntut permintaan maaf daripada pemimpin veteran dari parti sekutunya itu berhubung kenyataan yang dibuat pada sidang media yang mendesak agar pertubuhan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftarannya.

Menjawab kepada desakan tersebut, Karpal bertegas tiada permintaan maaf bakal dibuat dan sebarang tuntutan daripada pemimpin Pas tidak akan dilayan.

Naib Ketua Pemuda Pas, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan Karpal memperlihatkan pemimpin itu tidak mahu mengakui kesilapan.

“Kenyataan media Karpal Singh bertajuk “Karpal: I will not say sorry (Unfazed: PAS leaders ignorant, don’t understand English, says DAP chairman)” memperlihatkan tindakannya tidak mahu mengakui kesilapan dan mengambil sikap positif dengan memohon maaf amat dikesali sama sekali.

“Saya percaya dan pimpinan Pas juga percaya bahawa tindakan Karpal ini sedikit sebanyak menjejaskan hubungan yang baik yang terbina selama ini sebagai seorang sahabat dan juga sebahagian di dalam satu pakatan,” katanya.

 Mengulas lanjut dakwaan Karpal itu, Raja Ahmad menafikan pemimpin Pas termasuk dirinya tidak memahami bahasa Inggeris.

“Isu yang dibangkitkan oleh Karpal iaitu saya tidak memahami apa yang disampaikan oleh beliau pada 5 November yang lalu kerana tidak memahami bahasa Inggeris yang baik menyebabkan salah faham berlaku adalah satu kenyataan yang angkuh.

“Saya merasakan isu tersebut tidak timbul kerana saya telah mendapat pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Teknologi Mara yang medium pertuturan pengantar utamanya ialah bahasa Inggeris.

“Saya juga menamatkan pengajian saya di peringkat PhD di Universiti Manchester United Kingdom yang kesemuanya memerlukan pemahaman di dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Tambahnya, “termasuk juga Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden Pas) amat memahami bahasa Inggeris yang baik.”

Beliau berpendapat, tindakan Karpal itu merugikan PR sebaliknya menguntungkan BN.

“Bagi saya tindakan Karpal tersebut tidak menguntungkan PR dan malah menguntungkan BN jika beliau masih bersikap keras hati dan tiada sifat terbuka.

“Sekiranya Karpal memohon maaf atas keterlanjurannya maka ianya membuatkan orang melihat betapa berjiwa besar beliau selaku ahli politik negara dan lebih dihormati,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan