Halaman

Khamis, 21 November 2013

Pas Pulau Pinang dan Dap berbalah

muktamar pas
Kemelut Pas Pulau Pinang dengan kerajaan DAP Pulau Pinang dijangka dibincangkan pada Muktamar Pas di Shah Alam hujung minggu ini.
   
Anggota Parlimen Pas dari Kuala Nerus Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Pas Pusat mungkin akan membuat keputusan berhubung kemelut itu semasa muktamar tiga hari itu bermula lusa.
   
"Perkara itu hanya boleh diselesaikan melalui keputusan Pas Pusat yang akan membincangkan perkara itu pada muktamarnya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini.
   
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai hasrat Pas Pulau Pinang mahu mengkaji kedudukan parti itu dalam kerajaan negeri itu sekiranya tuntutan empat perkara mereka tidak dipenuhi.
   
Tuntutan itu ialah tidak mahu campurtangan exco kerajaan negeri dalam pentadbiran Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan tidak mahu pelantikan individu bukan dari Pas ke MAIPP.

Pas Pulau Pinang juga dikatakan menuntut penambahan kuota Pas dalam pelantikan anggota majlis perbandaran dan pelantikan sebagai anggota lembaga pengarah anak-anak syarikat milik kerajaan negeri.
   
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff dilaporkan membuat tuntutan itu semalam ekoran, antaranya, tidak berpuas hati dengan campur tangan kerajaan negeri itu dalam pentadbiran MAIPP.
   
Anggota Parlimen Pas dari Sepang, Hanipa Maidin, yang juga anggota jawatankuasa kerja Pas pusat, pula menganggap cadangan Pas Pulau Pinang mahu keluar dari pakatan kerajaan negeri itu sebagai "tidak masuk akal".
   
Beliau menganggap cadangan itu merupakan pandangan peribadi Fauzi sahaja.  - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan