Halaman

Khamis, 21 November 2013

'Tarik balik notis kenaikan'

Ahli Parlimen PR di Wilayah Persekutuan mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menarik balik notis kenaikan nilaian tahunan hartanah yang dikeluarkan 18 November lalu.

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berkata, pembatalan itu perlu dibuat serta-merta sehinggalah satu perbincangan meja bulat dilakukan terlebih dahulu bersama semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Menurutnya, kenaikan itu dibuat dengan kadar lebih 100 peratus dan akan dikuatkuasakan bermula Januari 2014.

“Dalam Bajet 2013, DBKL mencatatkan anggaran lebihan belanjawan sebanyak RM217 juta. Manakala anggaran pendapatan hasil pula meningkat kepada RM1.62 bilion berbanding RM1.45 bilion pada 2012 iaitu 11 peratus meningkat.

“Sementara cukai tafsiran adalah RM800 juta iaitu 54.2 peratus daripada hasil keseluruhan. Jadi apakah alasan DBKL nak naikkan cukai ini? Angka-angka ini disebut sendiri oleh Datuk Bandar (Datuk Seri Ahmad Phesal Talib) dan beliau turut menyatakan hasil cukai meningkat kerana penambahan bilangan hartanah yang dikenakan cukai tafsiran,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Turut hadir pada sidang media itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Ahli-ahli Parlimen PR Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dijadualkan  mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini bagi membincangkan isu berbangkit.
Menurut Tian Chua pula, jika Datuk Bandar ikhlas dengan perjumpaan sebelum ini, kenapa perkara itu tidak dimaklumkan kepada mereka.

“Sudah beberapa kali kami adakan pertemuan dengan DBKL sebelum ini, namun kami tidak dimaklumkan proses menyemak semula cukai tafsiran. Ini satu keputusan yang drastik.

“Oleh itu, kami bertegas mahu notis tersebut dibatalkan dahulu sehingga satu kajian dibuat dengan betul yang mencerminkan keperluan semasa baru notis baru diberikan semula,” katanya.

Tambah beliau, tidak ada gunanya untuk DBKL meminta orang ramai menulis surat bantahan jika tidak bersetuju dengan nilaian itu memandangkan kadar yang dikenakan adalah tidak wajar.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata, DBKL sepatutnya lebih telus dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan rakyat.

"Harapan kami, dalam pertemuan itu nanti DBKL akan membentangkan Pelan Draf KL berserta salinan draf dan pengezonan terbaru yang dibuat DBKL sebelum proses pewartaan.

“Kami tidak pernah dapat draf itu, malah terpaksa beli sendiri untuk mengetahui perkara lebih lanjut. Seharusnya kami ahli-ahli parlimen dimaklumkan sebarang pindaan yang ingin dibuat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan