Halaman

Khamis, 21 November 2013

Sidang Dun: Agenda belum selesai

Sidang Dun: Agenda belum selesai - kel18

Persidangan Dun Belanjawan 2014 yang bermula Isnin dan berakhir Khamis lalu dihiasi dengan pelbagai cerita.

Sidang yang dikawal oleh bekas Adun Ayer Lanas, Abdullah Yakub ini sememangnya ditunggu-tunggu di atas pelbagai faktor termasuk perubahan kepimpinan negeri khususnya jawatan Menteri Besar yang kini ditunjangi Datuk Ahmad Yakob.

Semasa pembentangan Belanjawan oleh Ahmad, tiada perubahan atau agenda besar yang dibuat, melainkan kejutan pengurangan hasil kerajaan negeri. Sudah tentu ia bukan berita yang baik kepada kerajaan negeri yang sebelum ini diketahui mempunyai kantung yang kecil.

Alasan pengurangan kutipan premium tanah disebabkan tiada pemberian milik tanah secara berskala besar adalah berita baik, namun kerajaan negeri harus kreatif mencari hasil kewangan  dengan tidak bergantung kepada hasil tanah, hutan  dan galian semata-mata.

Dalam belanjawan 2014 yang berjumlah RM549.26 juta itu, beberapa sektor diberi penekanan. Peruntukkan RM72 juta  kepada Yayasan Islam Kelantan  (YIK) adalah menefistasi kerajaan negeri memberi penekanan kepada pendidikan sekali gus menutup ruang  dakwaan sekolah-sekolah di bawah YIK akan diserahkan kepada pusat.

Namun timbul persoalan, peruntukkan sekitar RM11 juta untuk sektor pertanian sudah pasti tidak  mampu memberi satu impak yang besar kepada industri ini. Seolah-olah hasrat bekas Menteri Besar,
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melihat negeri ini menjadi negeri pertanian jauh dari sasaran.

Kelebihan faktor geografi  strategik, tanah yang luas, apatah lagi berhampiran dengan Thailand yang diketahui negara yang berjaya dalam industri  pertanian dilihat tidak berjaya membawa satu gagasan bagi boleh memasyhurkan negeri  dalam industri ini.

Adakah cukup dengan pembentangan yang menjelaskan Jabatan Pertanian akan memberi keutamaan kepada ternakan lebah madu, tanaman herba dan juga pertanian organik?

Begitu juga industri pelancongan yang masih belum menjadi tumpuan utama dalam belanjawan kali ini. Kelantan mempunyai kepelbagaian keistimewaan yang dikurniakan ALLAH secara semula jadi. Di sini ‘syurga’ kesenian, membeli belah, makanan, lokasi menarik, mahupun sosio agama dan politik yang menarik, tetapi tidak didedahkan dengan semaksimum mungkin.

Beralih kepada sesi perbahasan, masih ada exco yang menggunakan sidang ini untuk berceramah seperti di hadapan penyokong parti.

Betul, dakwah sepatutnya di mana-mana sahaja, tetapi tempoh 20-25 minit seharusnya digunakan sebaik mungkin bagi member penjelasan atau penerangan dari aspek teknikal supaya idea yang dibentangkan boleh di bahas bersama.

Bagaimanapun, ada  exco-exco baru juga diberikan kredit kerana berjaya mengimbangi kekurangan yang ada walaupun ada kalanya hanya membaca sepenuhnya teks yang disediakan pegawai.

Di pihak pembangkang, walaupun mempunyai peningkatan sekali ganda berbanding sebelum PRU12, suara kritikan atau teguran masih belum efektif sepenuhnya.

Aura Datuk Nozula Mat Diah selaku Ketua Pembangkang masih belum kelihatan walaupun lantang bersuara. Namun pujian harus diberikan kepadanya yang mengatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memberi faedah rakyat.

Umum mengetahui, bekas Exco kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa membuat kejutan dengan membuat teguran panas sehingga berlaku pertikaman lidah antara exco.

Ada sesetengah pihak yang mempertikaikan tindakan Husam yang dilihat menjadi ‘bayangan pembangkang’  dengan membidas rakan seperjuangan sendiri, sedangkan beliau mempunyai banyak saluran selaku Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri apatah lagi sebagai Naib Presiden parti.

Namun sikap Husam itu ada baiknya, kadang-kadang perkara dalam selimut tidak dapat akan diselesaikan sekiranya tidak dibongkar dan dihujahkan di tempat terbuka.

Kehadiran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed mewakili Dun Ayer Lanas menambah seri persidangan. Sehari sebelum berada di Dun, beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di persidangan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Bali.

Nyata kesibukannya di peringkat pusat tidak membantut dirinya yang turut memberi teguran kepada kerajaan negeri. Antaranya, Mustapa mempersoalkan kenapa kerajaan negeri tidak guna secara maksimum peruntukan pembaik pulih jalan  berjumlah lebih RM132 juta  yang dilihat membantu membangkitkan pihak kerajaan negeri tentang cara kegunaan wang itu. Masalah jalan berlubang dan bertampal-tampal di negeri ini bukan perkara baru dan ia harus ditangani bersama.

Bagaimanapun persidangan kali ini agak janggal apabila Dun tidak membincang sepenuhnya projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai. Melihat kepada situasi semasa, projek mega ini harus menjadi perhatian utama kerajaan negeri, ia bukan lagi projek politik, tetapi keperluan mendesak.

Konsultan sudah bertukar, Exco yang melaksanakan pun sudah bertukar, tetapi hasrat rakyat tidak pernah bertukar untuk melihat projek ini dapat dimajukan lebih-lebih kerjasama antara kerajaan negeri dan Pusat.

Ahmad individu yang bersifat sederhana dan terbuka seharusnya membuka jalan kepada kerjasama pembinaan lebuh raya ini, sementelah Mustapa yang kini sudah berada di Dun, sekali gus memudahkan setiap penyampaian maklumat dilakukan bagi merealisasikan projek ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan