Halaman

Khamis, 21 November 2013

Ubah persepsi terhadap Pas

Pemuda Pas perlu mengubah persepsi orang ramai terhadap Pas yang lebih dilihat sebagai pemimpin 'berkopiah putih'.

Calon Ketua Pemuda Pas Pusat, Zulhazmi Sharif ketika mengemukakan visi dalam hala tuju Pemuda Pas berkata, imej streotaip yang dibina Pas menyebabkan orang muda takut untuk mendekati parti itu.

"Sudah ada dalam 'mind set' orang ramai sejak dulu bahawa orang Pas mesti pakai kopiah putih, mesti pakai kurta atau jubah dan berimej Islamik.

"Jika pakai songkok hitan atau pakai t-shir, mereka bukan orang Pas," katanya ketika Wacana Hala Tuju Dewan Pemuda Pas anjuran Pemuda Pas Ipoh Timur dan Pemuda Pas Batu Gajah di sini, semalam.

Menurutnya, Pemuda Pas kini perlu berubah dari sudut pendekatan untuk merapatkan jurang antara anak muda dengan parti.

"Masalah kita Pemuda Pas adalah cara mendekati orang muda. Sebab itulah saya menggunakan slogan Merakyatkan Pemuda, Memudakan Rakyat," katanya.

Sementara itu, seorang lagi calon, Suhaizan Kayat berkata, beliau menggariskan lima agenda bagi memacu hala tuju Pemuda Pas.

Menurutnya, pertama, Pemuda Pas perlu menjadi juara rakyat dengan mengumpul maklumat tepat dan bertanggungjawab untuk mengetahui isu-isu berkaitan negara.

Manakala kedua, Pemuda Pas harus dilihat inklusif, bukan eksklusif selain menjadi penyemak dan pengimbang kepada parti sebagai agenda ketiga.

"Keempat, kita perlu memposisi Pemuda Pas dengan meletakkan mereka pada tempat yang betul dan menonjolkan mereka.

"Dan yang terakhir adalah tarbiah yang menjadi sistem penting untuk menyatukan pemimpin Pas selepas wujud usaha-usaha melabel kumpulan tertentu di dalam Pas," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan